Syarikat Rekrut Ejen Hartanah Tak Berlesen Diserbu

ejen_jual_rumah

Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta (LPPEH) menyerbu sebuah syarikat di Puncak Alam, Shah Alam, hari ini, kerana dipercayai merekrut 2,400 ejen hartanah yang tidak mempunyai lesen sah dikeluarkan badan berkenaan.

Serbuan bermula 11.30 pagi diketuai Ahli Lembaga Penilai Pentaksir Ejen Hartanah dan Pengurusan Harta Malaysia Ishak Ismail dan tujuh pegawai.

Ishak berkata, serbuan dan pemeriksaan di premis itu dilakukan berdasarkan aduan awam mengenai ramai ejen dilantik oleh syarikat berkenaan tidak mempunyai kad kuasa kebenaran oleh LPPEH.

“Maklumat awal mendapati sejumlah 2,400 ejen direkrut oleh syarikat ini dan pihak syarikat juga gagal menunjukkan kad kuasa kebenaran LPPEH apabila diminta berbuat demikian.

“Jumlah direkrut ini agak besar dan difahamkan ejen haram ini beroperasi di Semenanjung Malaysia.

“Saya nasihatkan sesiapa pun yang bercita-cita menjadi ejen haram atau sekarang sedang praktis secara tidak sah supaya jangan lakukan perkara bertentangan dengan undang-undang negara.

“Sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM300,000 atau maksimum tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali. Hukuman boleh dikenakan kepada individu atau syarikat yang akan ditentukan mahkamah,” katanya.

Ishak berkata, siasatan dilakukan mengikut Akta Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta (Akta 242) 1981 yang mana amalan ejen harta tanah adalah profesyen yang dikawal selia LPPEH.

Beliau berkata, serbuan seumpamanya akan dilakukan dari semasa ke semasa terutama disebabkan orang awam terdedah kepada penipuan jual beli hartanah.

Sumber : Harian Metro