Sunway Catat Untung Bersih Sebanyak RM132.8 Juta Pada Suku Ketiga

ejen_jual_rumah

Keuntungan bersih Sunway Bhd bagi suku ketiga berakhir 30 Sept, 2020 susut 28 peratus kepada RM132.83 juta daripada RM183.42 juta pada suku yang sama 2019.

Perolehan turut berkurangan kepada RM1.03 bilion daripada RM1.23 bilion bagi tempoh yang sama.

Semua segmen perniagaan kecuali kuari mencatatkan sumbangan keuntungan sebelum cukai yang lebih rendah, menurut syarikat konglomerat itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Prestasi kewangan yang rendah pada suku ketiga berbanding tempoh yang sama tahun lepas adalah berikutan kesan pandemik COVID-19 dan langkah perintah kawalan pergerakan yang dikuatkuasakan secara berterusan oleh pihak berkuasa.

“Walaupun semua perniagaan telah menyambung operasi pada Julai, namun kadar pemulihan yang dicatatkan pelbagai segmen perniagaan syarikat adalah berbeza susulan keperluan pematuhan yang dilaksanakan pihak berkuasa bagi sektor ekonomi,” menurutnya.

Menurut Sunway pada tempoh suku yang dinilai itu, ia berjaya menyelesaikan pembelian ke atas Dolomite Granite Quarry Sdn Bhd, yang akan mula menyumbang perolehan kepada kumpulan.

“Jumaat lepas, penjualan The Pinnacle Sunway, bangunan pejabat 24 tingkat, pada harga tunai RM450 juta kepada RHB Trustees Bhd, menjadi pemegang amanah Sunway REIT, telah selesai dengan jayanya,” menurut Sunway.

Ketua Pegawai Kewangan Sunway Group, Chong Chang Choong berkata syarikat itu dijangka dapat mencatatkan prestasi kewangan memuaskan pada suku terakhir 2020.

“Berdasarkan peningkatan kes jangkitan COVID-19 pada masa ini, syarikat akan meneruskan strategi perniagaan berhemat dan kekal berdaya tahan untuk mengharungi cabaran mendatang,” katanya.

Sumber : BERNAMA