Pengambilalihan MyProperty Data Oleh PropertyGuru Galak Ketelusan Lebih Baik Dalam Industri Hartanah

ejen_jual_rumah

BERNAMA

PropertyGuru Group hari ini menandatangani perjanjian pembelian saham dengan TechnoDex Bhd dan Real Estate Solutions Sdn Bhd untuk mengambil alih sepenuhnya syarikat data hartanah dalam talian terbesar di Malaysia, MyProperty Data Sdn Bhd.

Kumpulan itu berkata pengambilalihan tersebut akan menggalakkan ketelusan yang lebih baik dalam industri hartanah berdasarkan PropertyGuru yang memberikan pandangan dan data mengenai hartanah kepada rakyat Malaysia.

MyProperty Data, usaha sama antara TechnoDex dan Real Estate Solutions, menyediakan analisis dan pandangan mengenai data hartanah memanfaatkan lebih enam juta rekod unik berhubung jualan, sewaan, lelongan, pembangunan baharu dan maklumat geospatial dengan data dalam demografi, lokasi dan lain-lain.

“Matlamat kami ialah memudahkan pembelian rumah dan membantu menghapuskan ketidakselarasan daripada proses itu dan memperkasakan pihak berkepentingan, ejen dan pemaju hartanah lain.

“Kami berpendapat ini adalah masa yang baik untuk melabur dan membawa lebih banyak kepercayaan dalam pasaran.

“Malah, semasa pandemik COVID-19, mereka yang mencari rumah akan mempunyai keyakinan yang diperlukan berikutan mereka akan mempunyai lebih banyak akses kepada ketelusan data dan pandangan (mengenai PropertyGuru dan MyProperty Data),” kata Ketua Pegawai Teknologi PropertyGuru Group Manav Kamboj kepada Bernama tanpa mendedahkan jumlah pengambilalihan itu di sini.

Mengenai pengambilalihan itu, katanya PropertyGuru membeli semua saham dalam MyProperty Data dan mengambil alih 100 peratus pemilikan.

Ia akan melabur untuk memperluaskan penawaran MyProperty Data, yang turut melibatkan meningkatkan pasukan berikutan ia merancang untuk mengambil lebih 50 pakar berbanding 15 pada masa ini, dalam bidang sains data, jurutera, produk, jualan dan pemasaran, pada tahun pertama.

Penyelesaian daripada MyProperty Data disokong oleh badan industri seperti Persatuan Penilai, Pengurus Harta, Ejen Harta dan Perunding Harta dalam Sektor Swasta Malaysia dan Institut Ejen Hartanah Malaysia, dan digunakan oleh bank-bank utama dan lebih 1,200 profesional penilaian di Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Urusan MyProperty Data Joe Hock Thor berkata pasukan akan diserap dalam PropertyGuru sebagai sebahagian daripada pelan pertumbuhan kumpulan.

Katanya kumpulan akan mendapat lebih banyak data yang relevan untuk membantu pihak berkepentingan industri dalam rantaian nilai, termasuk pemaju dan bank, untuk membuat keputusan yang lebih baik.

“PropertyGuru tidak asing bagi kami kerana kami telah bekerjasama dalam banyak aspek, seperti membangunkan Pricing Insight eksklusif untuk PropertyGuru pada 2018 dan Home Loan Pre Approval pada 2019.

“Adalah wajar untuk kami bekerjasama lagi dan kami gembira untuk menyertai kumpulan ini,” kata Joe.

Melangkah ke 2021, Joe berkata kumpulan akan melancarkan keupayaan geospatial yang baharu, yang akan dapat memberikan gambar udara resolusi terkini ke pasaran, menambah nilai kepada pihak berkepentingan terutamanya semasa pandemik COVID-19.

PropertyGuru Group adalah syarikat teknologi hartanah terkemuka di Asia Tenggara, dengan 24.5 juta mereka yang mencari hartanah menggunakan portalnya untuk mencari rumah impian mereka pada setiap bulan.

PropertyGuru dan kumpulan syarikatnya memperkasakan mereka yang mencari hartanah dengan pilihan lebih 2.7 juta kediaman, pandangan dan penyelesaian yang membolehkan mereka membuat keputusan mengenai hartanah dengan yakin di Singapura, Malaysia, Thailand, Indonesia dan Vietnam.

Oleh : Rosemarie Khoo Mohd Sani
Sumber : BERNAMA