Pasaran Hartanah Sekunder Dijangka Pulih

berita_hartanah

Pasaran hartanah sekunder dijangka pulih selepas vaksin COVID-19 diperkenalkan selain turut disokong rangsangan yang diumumkan kerajaan, demikian menurut iProperty.com.my, laman web yang dikendalikan REA Group Asia.

Pengurus Besar Penyelesaian Data Pengguna REA Group Asia, Premendran Pathmanathan, berkata 2021 kekal menjadi satu lagi tahun mencabar untuk segmen hartanah sekunder, selepas permintaan terhadapnya merosot tahun lalu.

Namun, tegasnya, insentif yang diumumkan kerajaan menerusi pakej rangsangan menawarkan lebih banyak peluang kepada pencari hartanah untuk meneroka pasaran hartanah kediaman sekunder.

Katanya, pasaran hartanah sekunder banyak bergantung kepada perkembangan ekonomi sesebuah negara di mana tahun lalu, semua berdepan pasaran yang cukup mencabar akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Apa pun, kami percaya pasaran hartanah akan pulih selepas vaksin COVID-19 diperkenalkan. Satu lagi harapan adalah pengecualian duti setem oleh kerajaan untuk pasaran sekunder di bawah Belanjawan 2021.

“Di samping itu, pengurangan secara beransur-ansur Kadar Dasar Semalaman (OPR) dan pengurangan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan membantu meringankan pembayaran semula pinjaman perumahan.

“Ini turut mencetuskan minat membeli hartanah terutamanya dalam kalangan kelas pertengahan dan atasan,” katanya pada taklimat media secara maya, hari ini.

Pada sesi sama, iProperty.com.my turut menerbitkan laporan iProperty.com.my 2020 Property Demand Analytics.

Mengulas mengenai laporan itu, Premendran berkata, permintaan domestik bagi hartanah sekunder tahun lalu susut 1.3 peratus tahun ke tahun.

Mengikut segmen, katanya, permintaan terhadap kediaman bertingkat tinggi menurun seiring dengan harga manakala permintaan terhadap rumah teres kekal positif dengan pertumbuhan modal 2.6 peratus.

“Dalam kalangan ibu negeri di Malaysia, hanya Shah Alam dan Seremban merekodkan permintaan positif, masing-masing pada 1.7 peratus dan 0.9 peratus. Permintaan terhadap Pusat Bandaraya Kuala Lumpur menguncup sebanyak 8.9 peratus,” katanya.

Beliau menjelaskan, data permintaan membolehkan pelanggan meninjau sentimen umum mengenai hartanah pada waktu mencabar ketika ini.

“Penerbitan iProperty.com.my Portal Demand Analytics ini akan membantu pemain industri memahami aliran minat pasaran berkaitan penawaran dan permintaan.

“Data yang didorong permintaan membolehkan kita memahami sentimen pengguna dalam pasaran hartanah. Kerajaan boleh memanfaatkan data ini dalam pembinaan perumahan mampu milik dan peruntukan subsidi bersasar.

“Pihak berkepentingan lain seperti ejen hartanah, persatuan perumahan dan media boleh menganalisis data untuk memahami keutamaan pengguna pasaran tempatan dengan lebih baik yang mencerminkan permintaan pasaran,” katanya.

Sumber : Berita Harian