Lot Lidi Tidak Diiktiraf

ejen_jual_rumah

BERNAMA

Kerajaan Negeri tidak mengiktiraf sebarang penjualan dan pemilikan tanah lot lidi di Selangor.

Dato’ Menteri Besar berkata urusan jual beli tanah berkaitan mengundang pelbagai masalah kepada pembeli kerana tiada geran individu dan hanya berdasarkan Surat Ikatan Amanah sahaja.

“Bagi membendung aktiviti penjualan secara berleluasa, Mesyuarat Penyelarasan Pentadbiran Tanah/Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan bersetuju menolak semua permohonan pendaftaran Surat Ikatan Amanah bagi kesemua lot kecil tanah pertanian di negeri ini.

“Penolakan ini terpakai di semua Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) serta Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Selangor sehingga satu dasar berkaitan dirangka dan diluluskan Pihak Berkuasa Negeri,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri Jeram, Mohd Shaid Rosli pada sidang Dewan Negeri Selangor.

Beliau menjelaskan pelbagai sesi hebahan dan pemakluman kepada orang ramai berkaitan risiko pembelian tanah lot lidi dilaksanakan PTG dan PDT.

Portal edubestari.com memaklumkan lot lidi adalah sebidang tanah yang mempunyai geran sah tetapi kemudiannya dipecah-pecahkan kepada lot kecil untuk dijual semula.

Walaupun ia ditawarkan dengan harga mampu milik, namun mempunyai beberapa risiko seperti nama tiada dalam geran, sukar untuk proses jual beli, kesalahan melanggar syarat tanah, tiada pampasan jika ada pengambilan tanah dan tanah tidak boleh diwariskan jika ada kematian.

Sumber : Selangorkini.my