Lanjutkan Kempen Pemilikan Rumah

berita-hartanah-utusan

Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) berharap kerajaan akan melanjutkan program Kempen Pemilikan Rumah (HOC) 2.0 yang akan berakhir pada akhir Mei ini sehingga penghujung tahun 2021.

Presidennya, Datuk Ir. Soam Heng Choon berkata, bagi tempoh kempen HOC antara 1 Jun 2020 hingga 28 Februari lalu, sebanyak 34,354 unit rumah bernilai kira-kira RM25.65 bilion sudah terjual.

Ujarnya, sebanyak 78 peratus atau RM20.11 bilion yang terjual itu adalah rumah yang masih dalam pembinaan manakala 22 peratus atau bernilai RM5.54 bilion adalah rumah siap.

“Sama seperti pengecualian cukai jualan kenderaan yang diberikan kerajaan, ia telah membuatkan jualan kereta naik mendadak, lebih baik daripada sebelum kehadiran Covid-19.

“Atas dasar itu, kami berharap kerajaan melanjutkan lagi HOC 2.0 dengan kebanyakan pemaju juga optimis prestasi separuh kedua 2021 akan lebih baik selepas ini,” katanya dalam taklimat media Kajian Industri Hartanah Separuh Kedua 2020 dan Tinjauan bagi Separuh Pertama 2021 semalam.

Menurut Heng Choon, berdasarkan tinjauan pendapat dilakukan, majoriti atau 89 peratus responden dalam kalangan pemain industri memperoleh penjualan mereka melalui HOC.

“Kami meletakkan harapan supaya sempadan negeri dibuka semula bagi merancakkan lagi sektor hartanah dan perumahan tempatan.

“Pada satu ketika, PKP menyebabkan galeri jualan tidak dapat dibuka dan pameran rumah juga tidak dapat dilaksanakan sedangkan itu adalah antara tarikan untuk pembeli yang berpotensi membuat keputusan membeli rumah,” ujarnya.

Tambah beliau, sebanyak 13,037 unit perumahan berharga antara RM101,000 hingga RM700,000 akan dilancarkan di seluruh negara pada separuh pertama tahun ini.

“Dalam kajian yang dilaksanakan terhadap 134 ahli, jumlah itu melibatkan 6,998 kediaman berstrata dan 5,876 rumah teres manakala 163 lagi unit komersial dengan kediaman bernilai tertinggi antara RM500,001 hingga RM700,000 di tiga negeri utama iaitu Johor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Heng Choon berkata, sebanyak 51 peratus daripada pemaju juga tidak akan melancarkan projek baharu pada separuh pertama tahun ini atas beberapa faktor termasuk ketidaktentuan keadaan pasaran ketika ini.

Pada masa sama, kira-kira 20 peratus daripada responden juga berhasrat untuk menjual kebanyakan kediaman tidak terjual dahulu sebelum meneruskan usaha melancarkan projek baharu.

“Majoriti responden iaitu 83 peratus daripada mereka juga menjangkakan prestasi jualan bagi pelancaran kediaman baharu hanya pada tahap 50 peratus dan ke bawah bagi enam bulan pertama selepas dilancarkan,” jelasnya.

Sumber : Utusan Online