Lagenda Properties Tawar Baucar Tunai Bagi Rumah Mampu Milik

ejen_jual_rumah

Lagenda Properties Bhd (Lagenda Properties) telah bekerjasama dengan platform e-dagang, Shopee untuk menyediakan pembeli rumah akses kepada hartanah dengan tawaran harga yang berpatutan di platform maya.

Menurut Lagenda Properties dan Shopee dalam satu kenyataan bersama dikeluarkan hari ini berkata perkongsian itu membolehkan pembeli rumah membeli baucar di laman web Lagenda pada harga RM88.88, ia diperterjemahkan sebagai bantuan sebanyak RM1,888 untuk pembangunannya masing-masing di Bandar Baru Setia Awan Perdana (BBSAP) Sitiawan, atau RM888 untuk Pembangunan Lagenda Teluk Intan (LTI).

Pengarah Urusan Lagenda Properties, Datuk Jimmy Doh berkata pelanggan akan dapat melihat dan membeli hartanah oleh Lagenda Properties ini melalui Shopee dan melihat kediaman syarikat itu pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

Beliau berkata bagi memenuhi keperluan golongan B40, Lagenda Properties mensasarkan untuk melancarkan sebuah perbandaran baharu dalam tempoh setahun.

“Kami akan menumpu perhatian terhadap projek di Tapah, Perak, tahun ini dan kami akan mengembangkan perbandaran syarikat di Sungai Petani, Kedah, tahun depan,” katanya.

Pengarah Urusan Shopee, Ian Ho berkata usaha bersama itu memberi akses alternatif kepada penyelesaian perumahan mampu milik untuk rakyat Malaysia.

Pembangunan di BBSAP, rumah teres dijual pada harga RM190,000 seunit, manakala rumah jenis yang serupa berharga RM171,000 di pembangunan LTI.

Kedua-dua projek mempunyai kawasan pembangunan digabungkan seluas 809 hektar (327.4 hektar) dan sebanyak 20.000 rumah mampu milik, berkeluasan antara 900 hingga 1.390 kaki persegi.

Hartanah yang ditawarkan ini adalah rumah teres, berkembar dan banglo di kedua-dua bandar BBSAP dan LTI.

Sumber : BERNAMA