Ivory Properties Dapat Persetujuan Pemegang Saham Untuk Pembelian Tanah

ejen_jual_rumah

BERNAMA

Ivory Properties Group Bhd (IPGB) berkata pihaknya telah mendapat persetujuan pemegang saham untuk memperoleh dua bahagian tanah pegangan bebas seluas 1.98 hektar di hadapan Penang Queensbay Mall.

Pengumuman itu dibuat susulan daripada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) IPGB yang diadakan secara maya, hari ini, para pemegang saham dan proksi menghadiri mesyuarat tersebut melalui penstriman langsung dan bersetuju dengan pembelian tanah itu.

IPGB dalam satu kenyataan berkata pembelian strategik itu sejajar dengan rancangan syarikat untuk memperluaskan simpanan tanahnya di lokasi yang mempunyai potensi pertumbuhan dan mengukuhkan kedudukannya di pasaran hartanah di Pulau Pinang.

“Simpanan tanah kumpulan itu akan meningkat kepada sekitar 36.107 hektar daripada 33.99 hektar berikutan pembelian tanah, justeru memberi kelestarian untuk pendapatan masa depannya,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif IPGB, Datuk Low Eng Hock berkata IPGB sudah mempunyai rancangan besar untuk tanah yang baru dibeli itu yang dianggap sebagai antara tanah utama di bahagian selatan Pulau Pinang selatan.

Low berkata rancangan pembangunan itu akan merangkumi ruang komersial dan apartment servis untuk melengkapkan permintaan perbelanjaan orang ramai yang semakin meningkat di Pulau Pinang.

“Kami menjangkakan peningkatan modal dan hasil sewa di apartment servis yang akan memenuhi minat pembeli dalam kalangan muda dan pelabur,” katanya.

Sumber : BERNAMA