APHB, Chase Perdana Labur RM4.3 Bilion Bangunkan Projek Hartanah

berita_hartanah

AP Holdings Bhd (APHB), anak syarikat Koperasi Amanah Pelaburan Bhd (KAPB), menjalinkan kerjasama pelaburan dengan Chase Perdana Sdn Bhd dan Academic Medical Centre (AMC) bernilai lebih RM4 bilion.

Ia bertujuan membangunkan dua projek hartanah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM11 bilion, masing-masing di Kota Kinabalu, Sabah dan Serdang, Selangor.

Untuk itu ketiga-tiga pihak memeterai perjanjian usaha sama pelaburan (JV) bernilai RM4.3 bilion itu di sini, hari ini.

Pengerusi KAPB, Datuk Ilyas Mohamaed, berkata bagi projek pertama di Kota Kinabalu, APHB dan Chase Perdana, akan membangunkan pembangunan bercampur seluas 10.11 hektar.

Katanya, projek itu akan merangkumi pembangunan konsep pejabat rumah, pejabat kecil (SOHO); kompleks beli belah; kondominium dan banglo mewah dengan GDV lebih RM3 bilion.

“Bagi projek kedua, APHB dan AMC merancang untuk membangunkan sebuah hospital dengan kapasiti lebih 400 katil dan universiti dengan keluasan 57.1 hektar di Serdang membabitkan GDV hampir RM8 bilion.

“Kedua-dua pembangunan ini dijangka mengambil masa di antara lima hingga 10 tahun untuk dibangunkan sepenuhnya dengan GDV keseluruhan ialah RM11 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani pelaburan JV di antara APHB dengan Chase Perdana dan AMC.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Chase Perdana, Sathappan Ganeson.

Dalam pada itu Ilyas meminta kerajaan menawarkan insentif dan galakan pelaburan kepada syarikat tempatan bagi menggalakkan lebih banyak syarikat tempatan untuk melabur dalam negara.

“Kerajaan ketika ini banyak memberi galakan kepada pelabur asing dari segi insentif, namun tidak banyak untuk syarikat tempatan. Ini menyebabkan banyak ahli perniagaan Malaysia tidak mahu melabur dalam negara kerana kekurangan pemangkin untuk mereka.

“Lihat bagaimana Amerika Syarikat (AS) dan Eropah membantu syarikat tempatan untuk memulakan semula perniagaan, kerajaan mereka proaktif dan banyak insentif diperkenalkan bagi membantu perniagaan tempatan,” katanya.

Mengenai status pemilikan bangunan Exchange 106 oleh APHB, Ilyas berkata, pihaknya ketika ini memiliki 51 peratus kepentingan dalam bangunan yang terletak di Tun Razak Exchange itu.

“Kami telah menandatangani perjanjian (jual beli) lebih setahun lalu dan perjanjian ini dijangka akan selesai pada Jun ini selepas tertangguh susulan wabak COVID-19.

“Sebahagian daripada 51 peratus kepentingan ini kami perolehi daripada Kementerian Kewangan manakala selebihnya daripada Mulia Property Development Sdn Bhd.

“Berapa nilai pembelian ini saya tidak boleh maklumkan, namun jumlahnya adalah amat baik,” katanya.

Sumber : Berita Harian